BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, July 24, 2009

Anak Kita Anak Yatim

Saat pertama dilahirkan ke dunia, siapakah mereka yang pertama berada di sisi anak? Saat ketika sebelum ke tadika atau taman asuhan siapakah disamping anak-anak? Saat pertama sebelum ke sekolah siapakah yang membimbing anak-anak? Sudah tentu jawapannya ialah ibu dan ayah. Ibu bapa ialah insan pertama dalam hidup seseorang anak. Maka ibu bapalah seharusnya menguasai pola utama dalam pendidikan anak-anak mereka. Bukan guru, teman atau persekitaran. Pola pembentukan kelurga dan pendidikan anak-anak selalunya dikaitkan dengan pendidikan anak sejak dari dini usia lagi.

Kita sering membaca, mendengar, melihat dan menyaksikan berbagai-bagai berita atau tragedi yang berlaku pada hari ini berkaitan dengan rosaknya akhlak dan akidah anak-anak. Buang anak? Khalwat atau zina di kalangan remaja? Pembunuhan yang dilakukan anak-anak? Malah banyak lagi berita- berita yang seumpamanya yang dilakukan oleh anak-anak remaja pada hari ini yang berkaitan dengan penyelewengan akhlak dan akidah. Ibu bapa, orang tua dan guru mengeluh. Sedarkah kita semua bahawa penyelewengan ini terjadi kerana gara-gara diri kita sendiri, kegagalan diri kita sendiri sebagai ibu bapa. kealpaan kita sebagai ibu bapa untuk memperbaiki mengarah dan mendidik anak-anak.

Ibu bapa bertelanggah dalam hal mendidik anak. Si ibu ingin mendidik secara autokratik. Si bapa pula memilih cara pendidikan laissez faire atau permisif. Tapi si ayah lupa cara pendidikan itu hasilnya adalah seperti implikasinya seperti cerita ”Anakku Sazali”. Pernah tak kita ibu bapa bermesyuarat bersama berbincang tentang matlamat perkahwinan kita, matlamat kita dalam hal mendidik anak? Maka untuk mendidik anak-anak kedua ibu bapa perlulah mengambil satu cara yang disepakati, supaya matlamatnya satu iaitu untuk menghindari ahli keluarga daripada api neraka. Ibu pula janganlah hanya menyerahkan tanggungjawab mendidik semata-mata kepada bapa. Walaupun bapa merupakah ketua dalam rumah tangga. Seperti kata seorang penyair Arab yang berbunyi:

Ibu adalah sekolah, yang jika engkau telah mempersiapkannya bererti engkau telah mempersiapkan suatu bangsa yang mempunyai akar-akar yang baik.

Rasulullah juga telah menyebut tentang tanggungjawab ibu dalam hadis Riwayat Al- Bukahari dan Al-Muslim yang bermaksud, ”Seorang laki-laki itu adalah penggembala di dalam keluarganya dan ia dipertanggungjawab terhadap gembalanya itu, Dan seorang wanita itu adalah penggembala di dalam rumah suaminya dan ia bertanggng jawab terhadap gembalaanya itu...”
Di dalam sabda Rasullullah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ibu membantu bapa dalam rumah tangga termasuk dalam hal mendidik anak-anak. Sabda Rasullullah ini memperlihatkan bahawa ibu hendaklah berkerjasama dengan bapa dalam hal mendidik anak-anak. Jika ibu atau bapa meremehkan hal mendidik anak-anak kerana kesibukkan diri sendiri, waktu kosong untuk diri sendiri seperti ke kedai kopi, menonton video kegemaran, melaksanakan hobi dan sebagainya, tanpa memperdulikan hal diri anak-anak. Tiada masa mendengar cerita anak, tiada masa menanya khabar kerja sekolah anak, tiada masa luang bersama anak. Maka anak-anak akan mencari tempat lain, cara lain, orang lain untuk meluahkannya. Maka lahirlah penagih dadah, mat rempit, minah rempit, bohsia dan sebagainya. Hal inilah akan lahirnya ”anak yatim” yang diibaratkat oleh seorang penyair: Bukanlah anak yatim itu anak yang kedua orang tuanya telah selesai menanggung derita hidup dan meninggalkannya sebagai anak yatim. Tetapi anak yatim itu anak yang mendapatkan seorang ibu yang membiarkannya atau seorang bapa yang sibuk. Jika diteliti ada benarnya kata-kata penyair ini, di mana anak akan menjadi yatim, seperti tiada ibu dan bapa kerana tidak mendapat pendidikan yang sempurna daripada ibu dan bapanya. Kerana ibu bapa yang mementingkan diri sendiri. Apakah yang dapat kita harapkan daripada ibu dan bapa sebegini, ibu bapa yang membiarkan dan meremehkan pendidikan anak-anak mereka sendiri, kerana mengejar kepentingan diri sendiri.

Di dalam seruan memikul tanggungjawab mendidik, Islam telah membebani bapa dan ibu suatu tanggung jawab yang sangat besar dalam hal mendidik anak dan mempersiapkan mereka dengan persiapan yang sempurna untuk menanggung beban hidup mereka. Islam telah mengancam para ibu dan bapa dengan azab yang berat, jika mereka memperlekehkan dan menyelewengkan tanggung jawab mereka. Sepertimana firman Allah yang bermaksud:

”Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya. kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.

Rasulullah SAW juga telah bersabda tentang peri hal mendidik ini melalui hadis Ibnu Majah yang bermaksud” Didiklah anak-anak kamu dengan pendidikan yang baik. Hadis riwayat Abdu ”rr-Razzaq dan Said bin Manshur, yang bermaksud” Ajarkanlah kebaikkan kepada anak-anak kamu dan didiklah mereka.

Melihat kepada firman Allah dan sabda Rasullulah maka lihatlah, sedarlah, para ibu bapa anak-anak hendaklah dididik dan diajar. Ibu bapa pula mengajar dan mendidik dalam perkara-perkara yang baik. Malah kita pula hanya mempunyai satu matlamat sahaja, dalam hal mendidik anak-anak iaitu menghindari ahli keluarga daripada api neraka. Jika kita bersatu matlamat, maka Insayallah tiada akan lahir generasi yang mundur akhlaknya dan akidahnya. Maka dengan itu jadilah gembala yang baik, supaya lahirnya hasil yang baik.


0 comments: